19 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan nilai kemanusiaan harus mengatasi pakatan politik di samping aspek teras dan kepentingan multilateralisme harus diberi keutamaan.
Katanya, dalam hal ini, ia merupakan mesej jelas dimana pembunuhan dan kekejaman di Gaza perlu dihentikan dan tidak ada pilihan lain lagi.
Katanya, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman orang awam, rumah dan hospital, di samping kekejaman terhadap wanita dan kanak-kanak, melibatkan nyawa orang awam yang tidak bersalah, dilakukan siang dan malam di Gaza. Angka kematian dalam krisis yang berterusan sejak 7 Okt lepas kini meningkat kepada kira-kira 12,000.
“Setiap saat amat penting, dan setiap detik apabila suara oleh pemimpin dunia untuk menghentikan pengeboman berterusan begitu lewat, ia bermakna lebih ramai bayi akan menjadi mangsa,” kata Perdana Menteri.
Selain Malaysia, daripada 21 ekonomi yang menyertai APEC 2023, Brunei dan Indonesia turut menyentuh isu konflik di Timur Tengah itu, di San Francisco.
Beliau berada di sini bagi Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-30, turut menyertai Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC dan menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Superpower rivalry and rising tensions in the Asia-Pacific: The view from Southeast Asia’ di University of California, Berkeley.
Jelas Anwar lagi, ketiga-tiga mereka dalam satu langkah penting turut memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan berasingan pada penghujung Minggu Pemimpin APEC 2023, menggesa gencatan senjata di Gaza. Ia selepas Ekonomi APEC gagal mencapai kata sepakat mengenai perenggan yang dicadangkan oleh AS berhubung isu geopolitik melibatkan Rusia dan Ukraine, yang tidak menyentuh tentang Gaza.
“Secara keseluruhannya, saya gembira kerana ia (pendirian tiga ekonomi berkenaan) pendirian yang penting. Kami bukan pejuang atau ingin berseteru, tetapi kami mengambil pendirian sebagai sahabat.
“Saya tidak menggunakan forum ini untuk mengutuk, tetapi lebih kepada merayu, untuk menghentikan kekejaman yang berlaku di Gaza,” katanya.
Mengenai perdagangan dan pelaburan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berpendapat, APEC harus kekal sebagai platform bagi semua negara berkumpul untuk membangunkan strategi yang merangsang kemajuan ekonomi sambil mengekalkan standard tertinggi kerjasama dan saling menghormati.
Beliau berkata, kelompok yang berada di bawah kategori ekonomi baru muncul seperti Malaysia, mendapat manfaat yang besar daripada kerjasama sedemikian dalam kedua-dua aspek perdagangan dan pelaburan.
“Pada pelbagai peringkat pertumbuhan dan pembangunan, ekonomi-ekonomi ini kini cuba berkembang maju mengatasi kesukaran semasa krisis kesihatan global, yang bermakna perlu ada lebih banyak kerjasama sekarang berbanding sebelum ini,” katanya.
“Tidak syak lagi bahawa persaingan antara Amerika Syarikat-China yang berterusan akan menjadi realiti struktur hal ehwal dunia, tetapi ekonomi sedang pesat membangun tidak harus didesak untuk memihak.
“Negara seperti Malaysia dan Asean tidak boleh dipaksa untuk melihat dunia dan kuasa besar dalam pemikiran Perang Dingin,” katanya semasa sesi soal jawab pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC bertajuk “The Global Economy and State of The World”.
Beliau berkata, bagi Putrajaya, Amerika Syarikat telah menjadi sekutu tradisional dan pelabur utama di Malaysia, tetapi terdapat peralihan dengan peningkatan perdagangan dan pelaburan dari China.
Oleh itu Beijing akan kekal sebagai pusat kepada hal ehwal serantau kerana saiz, kedudukan yang hampir dan hubungan yang mendalam dengan Asia Tenggara.
“Apabila ekonomi China semakin matang, ia akan mengalihkan penekanan daripada pelaburan dan eksport, ke arah penggunaan dan perkhidmatan domestik,” katanya dalam Mesyuarat APEC sulungnya sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata skala besar penduduk China memastikan pasarannya yang besar akan terus berkembang dengan ketara.
“Realiti ini bermakna hubungan konstruktif dengan China kekal penting, walaupun kita mengimbangi peranan kekal Amerika,” kata Perdana Menteri.
Sehubungan itu Malaysia masih melihat ada nilai dalam hubungan yang melibatkan kedua-dua Washington dan Beijing.