19 NOV : Anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mengesahkan bapanya dalam keadaan sihat selepas menjalani satu prosedur pembedahan, Khamis lalu.
Perkara itu dikongsi dalam laman sosial Instagramnya, dimana Nurulhidayah yang lebih mesra disapa sebagai Kak Long berkata, beliau menghargai segala keprihatinan dan doa daripada orang ramai mengenai kesihatan bapanya.
Katanya, pembedahan itu sepatutnya berlangsung lebih awal namun terpaksa ditunda kerana kekangan masa dan jadual padat Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.
“Saya mengambil maklum berita kesihatan abah saya yang tular di sosial media, secara peribadi dan rendah diri, saya menghargai keprihatinan dan doa daripada posting, komen dan tidak kurang juga daripada mereka ‘yg terpaling tahu’.
“Alhamdulillah abah saya sihat setelah menjalani satu prosedur pembedahan pada hari Khamis, ia seharusnya dilakukan lebih awal lagi, kerana kekangan masa dan jadual yang padat. Begitulah abah. Kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri.
“Bagi kami sekeluarga, inilah masa yang sebaiknya kami gunakan untuk bersama menyantuni abah, menjadi sumber semangat abah untuk kembali pulih dan sihat agar dapat meneruskan khidmat kepada negara,” katanya.