19 NOV : Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersedia membentuk kerjasama bersama kerajaan, pelabur dan pemegang taruh utama untuk menyegerakan peralihan tenaga bertanggungjawab.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Baharin Din pada persidangan ENLIT ASIA 2023 mengutarakan cabaran penting dalam menyegerakan peralihan tenaga yang bertanggungjawab.
Katanya, ia bagi mengimbangi trilema tenaga yang menyeimbangkan keterjaminan, kelestarian dan kebolehmampuan tenaga.
Beliau dalam masa yang sama turut menekankan keperluan peralihan tenaga yang bertanggungjawab bagi menangani peningkatan permintaan elektrik yang mana TNB bersedia untuk memenuhinya sambil mengurangkan pelepasan karbon.
“Di rantau ASEAN, matlamatnya adalah untuk menyalurkan 3,000 gigawatt (GW) tenaga bersih. Ketika ini, ASEAN telah memiliki 95GW bahan bakar termal dan 188GW tenaga boleh baharu (TBB).
“Menjelang 2050, rantau ini mensasarkan pencapaian lebih 2,700GW TBB,” katanya.
Baharin menekankan bahawa pelaburan besar diperlukan untuk mencapai matlamat Sifar Bersih ASEAN menjelang 2050.
Beliau optimis berlakunya perubahan landskap dengan kerajaan giat membuat dasar yang menyokong pertumbuhan perniagaan rendah karbon.
Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia memberi tumpuan kepada TBB, kecekapan tenaga (EE), hidrogen, bio tenaga, mobiliti hijau dan pemerangkapan karbon.
Baharin menjelaskan peranan transformasi inisiatif-inisiatif ini dalam peralihan Malaysia ke arah ekonomi lestari dan hijau.
“Kerjasama serantau melalui platform seperti HAPUA (Heads of ASEAN Power Utilities/Authorities), SOME (Senior Officials Meeting on Energy) dan AMEM (ASEAN Ministers on Energy Meeting) telah mempercepatkan proses menuju objektif tenaga mampan,” katanya.
Baharin berkata, negara ini sedang memperkasakan infrastruktur penghantaran bagi mengukuhkan kerjasama serantau dan menyokong sambung tara sistem tenaga merentasi sempadan melalui Grid Tenaga ASEAN (APG).
“Pada masa ini, kami boleh menyokong tambahan 12GW melalui loji solar baharu dan penyimpanan bateri di titik nod tertentu dalam infrastruktur domestik kami, selain daripada 4GW TBB sedia ada.
“Kami secara proaktif sedang mengenal pasti lebih banyak titik nod demi mencapai matlamat nasional 70 peratus kapasiti TBB menjelang 2050 dan memenuhi permintaan tenaga negara jiran apabila diperlukan,” katanya.
Sehingga kini, TNB telah menandatangani 29 memorandum persefahaman (MoU) dengan organisasi tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai bidang ET seperti taman solar, integrasi hidrogen dan ammonia dalam loji tenaga, sambung tara dan kenderaan elektrik.
“TNB percaya bahawa pendekatan secara kolaboratif dengan sokongan dasar, kemajuan teknologi dan pembiayaan yang mencukupi, adalah penentu kejayaan peralihan tenaga di samping menangani trilema tenaga,” kata Baharin.