20 NOV : Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pahang memeterai perjanjian persefahaman (MoU) semalam bagi mengukuhkan lagi kestabilan pentadbiran serta politik negeri itu.
MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi PH Pahang Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas hampir setahun menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri,
Wan Rosdy, yang juga Menteri Besar Pahang berkata, MoU itu adalah bagi memantap dan memudahkan urusan pentadbiran kerajaan negeri serta sebagai rujukan pada masa depan.
“Kerangka perjanjian ini meliputi pelbagai perkara termasuk perbincangan mengenai lantikan, jawatan, ruang kerjasama dan perancangan di negeri ini,” katanya.
Beliau juga berkata kerjasama kedua-dua gabungan politik gergasi tanah air itu terbukti kukuh meskipun diuji dengan Pilihan Raya Kecil Tioman dan Pelangai yang memberikan kemenangan kepada PH-BN.
Menjawab soalan mengenai tempoh luput MoU itu, Wan Rosdy berkata kedua-dua pihak akan mengadakan perbincangan sekiranya terdapat sebarang ketidaksetujuan dalam sesuatu perkara.
Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor, pula berkata perjanjian itu mengikut ‘acuan’ MoU Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat dan diseimbangkan dengan situasi Pahang bagi mewujudkan kerajaan negeri yang lebih stabil.
“Saya juga percaya persefahaman ini menjadi model kepada bentuk persefahaman lain sebab di negara seperti Jerman, perkara ini adalah biasa malah ia dipaparkan kepada awam selepas pilihan raya atau tidak ada kata putus dibuat,” katanya.
Beliau juga yakin perjanjian yang termeterai hari ini akan membantu rakyat Pahang untuk mengetahui dengan lebih jelas hala tuju, perancangan dan komitmen kerajaan negeri itu.
Pahang adalah negeri pertama yang memeterai MoU berkaitan kerjasama Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.
Gabungan PH-BN membentuk kerajaan negeri selepas BN memperoleh 17 kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang dan PH memenangi lapan kerusi manakala Perikatan Nasional menjadi pembangkang dengan 17 kerusi.