20 NOV : Kementerian Kewangan menyokong saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meningkatkan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam pelaburan langsung domestik (DDI).
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim berkata GLIC dan GLC akan kekal komited membuat pelaburan dalam negara bagi memasuki bursa Malaysia, yang mana penyertaan kedua-duanya dilihat berupaya memperkukuhkan pasaran ekuiti tempatan.
“Kementerian Kewangan menyokong saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya GLIC dan GLCmeningkatkan pelaburan dalam negara.
“Setakat September tahun ini, saiz ekuiti Malaysia bernilai RM1.78 trilion iaitu peningkatan sebanyak RM42.68 bilion atau kira-kira 2.5 peratus berbanding RM1.47 trilion pada 31 Disember 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah ringgit Malaysia yang dilabur menerusi GLC dan GLC di Dewan Rakyat, hari ini.
Steven (PH-Bukit Mertajam) berkata setakat 31 Ogos, jumlah dana pelaburan GLIC yang terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sebanyak RM1096 bilion dan purata pelaburan domestik adalah 64.9 peratus.
“Manakala Permodalan Nasional Berhad (PNB) pula berjumlah RM332 bilion iaitu bersamaan 84.3 peratus, Lembaga Tabung Haji, RM91 bilion iaitu bersamaan 90.1 peratus dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berjumlah RM10.5 bilion dengan 100 peratus purata pelaburan Domestik,” katanya.
Mengulas mengenai GLC, Steven berkata
syarikat GLC lebih tertumpu kepada pelaburan domestik bagi mengembangkan syarikat termasuk pembelian aset perniagaan dan operasi syarikat.
Jelas beliau, sebahagian besar pelaburan tersebut melibatkan syarikat seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Malaysia Airport dan Telekom Berhad yang merupakan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad.
Mengulas mengenai syarikat-syarikat di bawah Kementerian Kewangan (MKD) , Steven berkata fokus pelaburan kerajaan dalam syarikat MKD adalah sebagai pemangkin kepada pasaran dalam bidang-bidang tertentu, yang tidak dapat diterokai atau kurang penglibatan sektor swasta berikutan kos pelaburan yang tinggi.
“Pelaburan syarikat MKD juga bertujuan untuk menyediakan infrastruktur asas atau perkhidmatan kepada rakyat seperti utiliti dan pengangkutan awam di mana perkhidmatan tersebut kurang mendapat perhatian di kalangan sektor swasta,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL