20 NOV : Perbicaraan kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim yang didakwa memfitnah Perdana Menteri itu ditukar daripada Julai 2026 kepada Januari 2025.
Perkara tersebut disahkan Phoon Wai Ken yang mewakili Anwar selepas melakukan pengurusan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, hari ini.
“Tarikh perbicaraan ditetapkan pada Julai 2026, namun mahkamah hari ini menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 20 dan 23 Januari serta 12 dan 13 Januari 2025.
“Sehubungan itu tarikh yang ditetapkan pada 2026 sebelum ini, dilapangkan,”katanya.
Pada 3 Mac lalu, Anwar memfailkan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners selaku plaintif dengan menamakan Awang sebagai defendan tunggal.
Anwar mendakwa Awang mengeluarkan kenyataan fitnah apabila mendakwa sikap pendendam perdana menteri berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Awang dilaporkan membuat kenyataan berhubung pendakwaan terpilih itu ketika ditemui media di lobi Parlimen pada 21 Februari lalu.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar berkata defendan dengan sengaja memfitnah walaupun plaintif sudah menafikan secara terbuka serta menegaskan beliau tidak mencampuri tugas serta kuasa agensi penguatkuasaan dan Jabatan Peguam Negara.
Oleh itu, Anwar berkata dakwaan penyiasatan, penguatkuasaan dan pendakwaan terpilih tidak mempunyai kebenaran, palsu, tidak berasas serta berniat jahat.
Selain itu, Anwar turut menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, ganti rugi pampasan serta perintah injunksi untuk menghalang defendan, ejen atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah.