20 NOV : Seramai 6.3 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 55 tahun atau 48% mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 setakat 30 September lalu.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan jumlah itu meningkat berbanding 4.7 juta ahli atau 37% yang direkodkan pada April 2020 iaitu sebelum pengeluaran khas ketika Covid-19 diperkenalkan.
“Dengan simpanan kurang daripada RM10,000, ahli dijangka hanya mempunyai pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun.
“Implikasi pengeluaran tambahan daripada Akaun 1 juga telah memberikan kesan jangka panjang iaitu pengurangan jumlah simpanan persaraan yang ketara dalam kalangan ahli KWSP,” kata MoF dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat.
Zulkifli Ismail (PN-Jasin) bertanya soal inisiatif kerajaan bagi menangani masalah wang persaraan rakyat tidak mencukupi selain turut dihimpit saiz sektor tidak formal yang besar dan nisbah tanggungan lebih tinggi.
Menurut kementerian, isu berkenaan dilihat serius apatah lagi negara kini sedang menghadapi fenomena penuaan penduduk yang pantas kerana ia bakal memberi impak besar kepada negara dan rakyat terutama dari segi ekonomi, produktiviti, kesejahteraan sosial, kualiti hidup, dan kesihatan.
Kerajaan menerusi Belanjawan 2024 mengumumkan bakal meningkatkan had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Saraan daripada RM300 kepada RM500 setahun tertakluk kepada had maksimum RM5,000 seumur hidup bagi setiap individu yang layak.