22 NOV: Hamas memaklumkan pihaknya mencapai kata sepakat dengan Israel untuk melaksanakan gencatan senjata selama empat hari selepas berdepan konflik sejak 7 Oktober lalu.
Menurut laporan Agensi Anadolu, persetujuan yang dicapai pada Rabu itu melibatkan pertukaran tebusan dan gencatan senjata sementara dengan kumpulan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.
Antara cadangan lain adalah pembebasan 50 warga Israel yang ditahan oleh Hamas sebagai balasan kepada 150 warga Palestin di penjara Israel.
Memetik laporan Al Jazeera, dalam tempoh ini rejim zionis itu akan menghentikan tindakan ketenteraan di semua kawasan di Semenanjung Gaza termasuk pergerakan kenderaan tentera.
Dalam gencatan senjata ini juga, ratusan trak bantuan kemanusiaan termasuk bekalan perubatan dan bahan api dibenarkan masuk ke Gaza.
Selain itu, pergerakan dron di selatan Gaza juga akan dihentikan selama empat hari iaitu selama enam jam sehari antara jam 10 pagi dan 4 petang waktu tempatan.
Semasa tempoh gencatan senjata, Israel memberi komitmen untuk tidak menyerang atau menangkap sesiapa di semua kawasan di Semenanjung Gaza dan kebebasan bergerak akan dijamin di sepanjang jalan Salah al-Deen.
Hamas juga berkata 150 wanita dan kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara Israel akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, lebih 14,128 rakyat negara itu terbunuh termasuk 5,840 kanak-kanak dan 3,920 wanita.
Ribuan bangunan termasuk hospital, masjid, dan gereja juga rosak dan musnah dalam serangan udara serta darat Israel ke atas kawasan yang dikepung itu.