22 NOV : Kongres tahunan pertama PKR sebagai parti kerajaan akan berlangsung selama dua hari pada hujung minggu ini di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC).
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, melalui kongres yang bertemakan ‘Memaknai Reformasi, Menjulang Madani’ itu, pembahas bebas melontarkan idea mahupun mengkritik barisan kepimpinan.
“Ini adalah kongres tahunan yang pertama yang akan dihadiri oleh sidang perwakilan dari seluruh negara selepas setahun PKR bersama-sama dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Pembahas-pembahas akan diberikan kebebasan untuk berbahas, memberikan nasihat, mengkritik serta melontarkan idea kepada barisan pimpinan yang kemudiannya akan dijadikan panduan dan iltizam pimpinan ke arah yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, isu utama berkait kos sara hidup, perpaduan dan rasuah menjadi antara topik pilihan pembahas.
“…isu-isu terkait kemakmuran ekonomi, kebajikan dan keadilan sosial, tatakelola pentadbiran yang baik dan kestabilan politik akan menjadi tumpuan utama dalam perbahasan.
“Sudah tentu isu utama berhubung kos sara hidup, isu perpaduan dan 3R, isu rasuah dan penyelewengan kuasa antara topik yang akan dipilih oleh para pembahas kita,” katanya.
Seramai 2,374 pewakilan dan 1,500 pemerhati dijangka menghadiri kongres kali ini.
Selain itu kata Saifuddin, kongres itu juga akan turut dihadiri pimpinan utama dari parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan selain turut menerima kehadiran wakil dari 50 kedutaan asing.
Katanya, melalui kongres ini PKR akan sekali lagi menegaskan mesej dan pendirian parti terhadap isu kemanusiaan yang berlaku sejak
berlakunya kemelut Palestin dan negara haram Israel.
“PKR akan mengadakan slot khas untuk
memperingati mangsa-mangsa kekejaman Israel di dalam kongres pada 25 November 2023,” katanya. OLEH : NUR EISYA