23 NOV : Kestabilan Kerajaan Perpaduan selama setahun berjaya menarik banyak industri gergasi dunia untuk melabur di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara kini mempunyai dasar yang jelas sehingga berjaya meyakinkan syarikat Google, TikTok, Infineon Technologies AG, syarikat automotif China, Geely dan Tesla melabur di negara ini.
“Saya tanya mereka apa keistimewaan di Malaysia. Sekarang, Alhamdulillah politik stabil. Politik stabil itu membantu memberi keyakinan kepada mereka, ada dasar yang jelas.
“Maknanya dia tahu, dia datang sini. Ini dasar ekonominya, ini dasar perindustrian, ini ekonomi Madani, ini transisi tenaga. Saya bersyukur Malaysia menjadi perhatian semula selepas ketinggalan beberapa lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Zulkapli Mohamed.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan berusaha membawa perubahan kepada negara dengan menarik lebih ramai pelabur, mengurus ekonomi dengan baik, melatih anak tempatan dan tatakelola baik serta mengangkat martabat negara di rantau ini.
“Negara ini tidak boleh lagi dikenali negara yang senang dan toleransi dengan rasuah serta penyelewengan, setiap dana mesti digunakan dengan baik di semua peringkat, daripada perdana menteri hingga ke bawah,” katanya.
Beliau sempat menambah, kestabilan politik hari ini juga akan menyukarkan hasrat segelintir pihak yang mengidam untuk mengambil alih kerajaan.
Dalam pada itu, beliau turut menegur pihak-pihak yang bergaduh mengenai perbezaan agama dan kaum tetapi tidak menghiraukan masa depan anak-anak muda termasuk graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Justeru, Anwar meminta Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan agensi berkaitan agar menyediakan latihan kemahiran yang secukupnya khususnya di peringkat kemahiran tertinggi susulan terdapat teguran daripada pelabur yang memaklumkan kemahiran tertinggi pekerja di negara ini perlu dipertingkatkan.