25 NOV : Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan di negara ini mengetatkan sistem kawalan keselamatan.
Ia sebagai langkah berwaspada susulan siri ancaman bom palsu di sekolah yang berlaku baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata kementerian bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal keadaan dan mengambil tindakan perlu bagi menjamin keselamatan warganya.
“Kita ada garis panduan dan semua sekolah diberitahu untuk mengetatkan kawalan keselamatan terutama jika ada perkara mencurigakan atau terlihat orang tidak dikenali agar segera menghubungi polis.
“Kita amat memahami terutama dalam kalangan ibu bapa yang khuatir akan keselamatan anak-anak mereka, tetapi di sini saya beri jaminan bahawa KPM bersama PDRM komited memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Cemerlang Sesi 2023/2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) (P) AlMashoor di George Town, hari ini.
Dalam pada itu, Hui Ying berkata KPM memandang serius ancaman itu walaupun ia palsu.
Namun beliau berharap perbuatan tersebut dapat dihentikan bagi mengelakkan ketakutan dalam kalangan warga sekolah dan ibu bapa.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan polis menerima 51 laporan berhubung ancaman bom di sekolah seluruh negara sejak Selasa lepas.
Menurut Mohd Shuhaily, peningkatan laporan tersebut susulan penerima e-mel lewat membacanya meskipun ancaman itu dihantar pada waktu yang hampir sama.
Daripada jumlah itu, laporan melibatkan 18 sekolah di Selangor, Kuala Lumpur (7), Johor (6), Negeri Sembilan (3), Pulau Pinang (4), Sarawak (5), Perak (3), Sabah (2) dan Kedah (3).
Beliau berkata susulan itu juga 10 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.