27 NOV : Kerajaan memberi jaminan data peribadi rakyat Malaysia selamat menerusi pelaksanaan program Identiti Digital Nasional (IDN).
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata IDN penting untuk menyeragamkan proses daftar masuk bagi setiap aplikasi milik agensi atau jabatan kerajaan.
Menurutnya, pelaksanaan tersebut akan memberi manfaat kepada semua pihak malah katanya negara seperti Singapura, Estonia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut beralih kepada penggunaan ID digital.
“Kita lihat setiap kementerian mempunyai aplikasi tersendiri dan maklumat yang dipegang terlalu banyak.
“Apabila kerajaan menyediakan satu modul yang dapat digunakan oleh semua kementerian dan pihak swasta, maka isu keselamatan data peribadi dapat dikawal dengan rapi.
“Data rakyat Malaysia akan lebih selamat daripada dicuri oleh pihak yang berniat jahat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Seminar Transformasi dan Inovasi Digital Malaysia- Jepun 2023 di Management and Science University (MSU) di Shah Alam, hari ini.
Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan awal RM80 juta kepada pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) gunaan nasional MIMOS Berhad untuk menyegerakan pelaksanaan program IDN ini.
Sementara itu, menurut Fahmi dasar tersebut bukanlah perkara baharu sebaliknya ia sudah diumumkan pada tahun 2021.
Pada masa sama beliau menyeru agar rakyat tidak takut dengan dakwaan sesetengah pihak berkaitan isu itu di media sosial.
“Saya ingin tegaskan ini bukan dasar baharu.
“Kita mahu selesaikan isu pendaftaran masuk dalam aplikasi kerajaan dan pastikan keselamatan terjamin,” katanya.