27 NOV : Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal memperkenalkan lima inisiatif di bawah Pelan Liberalisasi Visa bermula 1 Disember ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelan liberalisasi visa itu bertujuan bagi menjana pendapatan negara.
Selain itu, katanya pelan tersebut akan dikaji semula selepas setahun untuk menilai pulangan pelaburan (ROI) kepada negara, selain keberkesanan inisiatif dan penilaian risiko keselamatan terhadap kemudahan imigresen yang diberikan.
“Pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat China dan India ke Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan salah satu daripada pelan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Saifuddin berkata sekiranya berlaku insiden atau kejadian di luar jangka, pelan tersebut akan disemak semula untuk penambahbaikan sebagai persediaan menjelang tahun 2025 dan 2026.
Dalam pada itu, Saifuddi berkata inisiatif kemudahan ‘Multiple Entry Visa‘ (MEV) akan diberikan sehingga 30 hari kepada semua pelancong yang ingin masuk ke Malaysia menerusi pelan itu.
Jelas beliau, pas itu dibuka kepada kepada 23 negara yang berisiko rendah dan berpendapatan tinggi.
“Pas Lawatan Sosial jangka panjang juga diberikan dengan keberadaan sehingga 12 bulan untuk pelajar antarabangsa yang telah tamat pengajian di Malaysia bagi tujuan menyambung pengajian, melancong dan bekerja secara sambilan dalam sektor pekerjaan yang dibenarkan mengikut undang-undang di dalam negara.
“Ia melibatkan rakyat Australia, New Zealand, Brunei, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Jerman, United Kingdom, Perancis, Kanada, Switzerland, Belanda, Arab Saudi, Kuwait, UAE, Qatar, Oman, Bahrain, Sweden, Norway, Denmark, Finland dan Amerika Syarikat,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kerajaan turut memberikan visa transit umrah bagi tempoh tujuh hari melalui agensi pengendali umrah yang berdaftar.
Beliau berkata pelaksanaan pelan itu diperkukuh melalui langkah kawalan dan penguatkuasaan secara bersepadu dengan agensi penguat kuasa.
“Tempoh sah laku visa dipanjangkan daripada tiga kepada enam bulan dan tempoh kelayakan Pas Lawatan Sosial diselaraskan kepada minimum 30 hari bagi semua negara yang memerlukan visa untuk masuk ke Malaysia.
“Melalui aspek kawalan dan penguatkuasaan yang dipergiatkan, negara boleh menghindar dari berlakunya isu-isu seperti kebanjiran warga asing dan pendatang tanpa izin (PATI),” katanya.
Sehubungan itu Saifuddin berkata, melalui Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia terjamin dengan mengekalkan pelaksanaan tapisan awal keselamatan kepada semua pengembara ke Malaysia terutama yang mempunyai rekod jenayah atau risiko keganasan. OLEH : AISYAH BADRUL