29 NOV: Malaysia perlu sentiasa berada di barisan hadapan dalam menjadi contoh kepada dunia bagi membentuk era baharu Tadbir Urus Etika Global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha tersebut perlu dilaksanakan di tengah-tengah kepelbagaian kaum, agama, serta kewarganegaraan di negara ini.
Jelas beliau, dunia boleh berusaha ke arah masa depan yang lebih cerah dari segi moral, di samping tidak hanya maju dalam bidang teknologi dengan menghayati hikmah Islam dan Konfusianisme kerana kedua-duanya menekankan usaha mencari kedamaian dalaman dan luaran.
“Malaysia, sebuah negara di mana tamadun utama berinteraksi dalam arus perdana pembangunan sosial dan politik, berdiri dengan kedudukan yang unik untuk menjadi mercu tanda dalam wacana ini.
“Warisan kita yang pelbagai menawarkan perspektif yang unik dan peluang untuk berada di barisan hadapan dalam membentuk era baharu Tadbir Urus Etika Global.
“Paradigma baharu ini, mengambil pengajaran dari peradaban yang kaya, berjanji untuk menjadi lebih inklusif dan mewakili penduduk global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian Dialog Kepimpinan Islam-Konfusianisme 2023, di ibu negara, hari ini.
Dialog Kepimpinan Islam-Konfusianisme merupakan anjuran Pusat Kajian Strategik Serantau (CROSS) dan Pusat Penyelidikan Asia Tenggara untuk Kemanusiaan (SEARCH) dan disokong oleh Pejabat Perdana Menteri dan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia.
Mengulas lanjut, Anwar berkata konfusianisme merujuk kepada pengajaran falsafah yang diamalkan oleh masyarakat Cina seawal 2,500 tahun dahulu untuk mempertingkatkan moral dan menjaga etika manusia.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan kembimbangan mengenai dunia yang ketika ini sedang menyaksikan kebangkitan semula politik identiti.