29 NOV : Malaysia berjaya meraih komitmen pelaburan bernilai RM347 bilion sepanjang lawatan rasmi serta misi perdagangan dan pelaburan yang diadakan di luar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan tersebut berjaya diraih menerusi China, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Amerika Syarikat.
“Komitmen pelaburan ini agak tinggi dan amat memberangsangkan sama ada hasil lawatan dan hasil usaha agensi-agensi kerajaan termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di persidangan Dewan Negara, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata
sasaran tahun ini bagi pelaburan separuh pertama 2023 diluluskan kerajaan berjumlah RM132.6 bilion iaitu melebihi 60 peratus daripada sasaran.
“Yang utama ialah jaminan berkembangnya Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK) suku ketiga dengan mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku kedua 2023.
“Ekonomi kita berkembang 3.9 peratus bagi sembilan bulan 2023, selari dengan unjuran KDNK 2023 sekitar empat peratus,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan juga berjaya meredakan tekanan inflasi yang mana negara mencapi inflasi terendah di rantau ini dengan hanya 1.8 peratus.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan tahap pengangguran di Malaysia berjaya diturunkan kepada 3.4 peratus setakat September 2023 dan ianya merupakan jumlah terendah hampir menyamai kadar sebelum Covid-19 iaitu 3.3 peratus.
“Walaupun baru setahun, kita laksanakan dasar serta pendekatan yang jelas dan tegas yang tidak dilaksanakan sebelum ini malah ada langkah Belanjawan Madani Kedua yang telahpun dilaksanakan,” katanya.
Anwar berkata Rang Undang-Undang Kewangan Awam and Tanggungjawab Fiskal diluluskan di Dewan Rakyat menjadi bukti ketegasan kerajaan dalam tata kelola tidak boleh dipertikaikan.
“Semua usaha di bawah Belanjawan MADANI Kedua akan menyusul setiap keutamaan Ekonomi MADANI yang dicerakinkan kepada tiga tumpuan utama iaitu tata kelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan; penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan; dan peningkatan darjat hidup rakyat,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim