29 NOV : Isu peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang belum dapat dimuktamadkan kerana tiada sebarang perbincangan bersama wakil pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berharap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengadakan perbincangan soal peruntukan sebelum sebarang keputusan diambil.
“Berbincang bagaimana kita nak menjalinkan kerjasama dalam mentadbir, menguruskan hal ehwal negara, pentadbiran kerajaan dan juga Parlimen, supaya kita dapat memastikan fokus kita ialah mengurus tadbir kerajaan ini dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian anugerah sempena Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023 di Kuching, hari ini.
Fadillah memaklumkan setakat ini, hanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berjumpa dengannya namun Ahli Parlimen Muar itu tidak mewakili pembangkang.
“Dia datang sebagai Bebas, bukan mewakili pembangkang. Ahli pembangkang yang lain setakat ini tidak ada yang berjumpa dengan saya. Biarlah kita antara kerajaan dan pembangkang berbincang dulu perihal bagaimana kita nak jalin kerjasama,” katanya.
Sebelum ini, Anwar menegaskan beliau tidak akan menghalang ahli Parlimen pembangkang untuk meminta peruntukan wakil rakyat dari kerajaan
Sebaliknya, Anwar berkata ahli Parlimen pembangkang perlu melakukan rundingan bersama Fadillah terlebih dahulu berhubung peruntukan pembangunan kawasan seperti kelaziman yang diamalkan dalam sistem demokrasi serta menghormati peraturan.