30 NOV : Malaysia mampu diangkat sebagai hab ekonomi halal berdaya maju kerana industri itu berpotensi tinggi dengan nilai ekonomi global mencecah AS$5 trilion (RM23.26 trilion) menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bagi mencapai target tersebut, negara ini perlu lebih memperkasakan aspek utama dalam pembangunan infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan, latihan, integrasi teknologi serta kerjasama global.
“Kita tidak boleh lupa bahawa halal bukan sekadar pensijilan semata-mata, tetapi mewakili peluang perniagaan yang besar.
“Walaupun proses pensijilan mungkin tidak menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara, aspek perniagaan halal yang lebih luas menjana kekayaan, memupuk kesejahteraan masyarakat dan meningkatkan pulangan ekonomi dalam perspektif yang luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Islam dan Ekonomi Halal Antarabangsa (ICIHES) 2023 serta Persidangan Undang-Undang Islam, Ekonomi dan Kewangan Antarabangsa (SPEKI) 2023 di Putrajaya, hari ini.
Fadillah berkata ekonomi halal kini mengalami trend menaik berikutan permintaan terhadap produk halal daripada negara bukan Islam seperti Thailand, Australia dan Brazil.
Dalam pada itu, beliau turut memberi peringatan kepada pemegang-pemegang taruh dalam industri berkenaan supaya tidak melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dengan melakukan transaksi tidak beretika.
Jelas beliau, ianya bagi memastikan ekosistem sektor terbabit berkembang secara komprehensif.
Selain itu, katanya industri halal menetapkan penanda aras ke arah menegakkan integriti dan nilai halal mengikut undang-undang Islam.
“Dalam menjaga ekonomi halal secara menyeluruh, pemegang taruh perlu menjauhi transaksi yang tidak beretika dan menyalahi undang-undang seperti tidak jujur, memanipulasi harga dan menyorok bekalan.
“Sebaliknya pemegang taruh perlu mematuhi prinsip serta etika yang baik bagi mewujudkan ekosistem industri halal yang lebih kondusif,” katanya.