2 DIS : Segala pembangunan teknologi berkaitan pelaksanaan Identiti Digital Nasional atau Digital ID akan menggunakan sepenuhnya tenaga dan sumber tempatan.
Pegawai Tugas-Tugas Khas di Pejabat Menteri Dalam Negeri, Dr Azman Hussin berkata pembangunan Digital ID itu menggunakan teknologi baharu kriptografi post quantum computing compliance yang dibangunkan universiti tempatan.
“Dari segi peranti (telefon pintar) untuk guna Digital ID ini mungkin kita masih guna luar negara seperti Apple, Samsung, tapi falsafah projek ini adalah projek asli Malaysia, kemahiran sains, kejuruteraan, perisian sepenuhnya daripada hasil anak tempatan.
“Lebih membanggakan, teknologi yang kita gunakan itu amat selamat, yang mana pada masa depan dijangka akan dicipta satu quantum computer yang boleh pecahkan semua kriptografi sedia ada, tapi algoritma kita untuk Digital ID ini, quantum computer itu tidak akan dapat pecahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Ruang Bicara yang disiarkan secara langsung di saluran Bernama TV, malam tadi.
Menurut Azman, dengan tidak meletakkan kebergantungan kepada pakar luar, projek Digital ID itu secara langsung akan membolehkan ekosistem pemain industri tempatan dalam hal teknologi berkaitan dapat dibina dan diperkasakan.
Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
Tanpa menggantikan sistem MyKad, Digital ID merupakan platform yang dipercayai dan selamat serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.