1 DIS : Kementerian Luar Negeri (KLN) membantah kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Muhammad Noor mengenai dakwaan tidak diberikan kerusi pada mesyuarat praprogram Lawatan Kerja Perdana Menteri, baru-baru ini.
Menurut KLN, kenyataan Muhammad Sanusi itu tidak berasas.
Jelasnya, Sanusi dijemput menerusi surat yang diutus kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Kedah bagi menyertai program lawatan bersama Datuk Seru Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, 27 November lalu.
“Jemputan ini adalah berdasarkan kesesuaian pembabitan beliau di dalam program berkenaan.
“Bagaimanapun beliau tidak terbabit dalam mesyuarat praprogram bersama perdana menteri dan surat bertarikh 25 November tidak menyebut mengenai mesyuarat itu,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Mengulas lanjut, KLN menjelaskan Muhammad Sanusi mengambil keputusan untuk turut hadir ke mesyuarat praprogram berkenaan dan perdana menteri maklum mengenai kehadirannya dan menyediakan kerusi untuk beliau.
“Beliau juga tidak terbabit dalam lawatan ke Sadao, Thailand, tetapi bagi memenuhi permintaannya di saat akhir, perdana menteri bersetuju mengizinkan beliau menyertai delegasi rasmi itu.
“Justeru kenyataan ini dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenarnya iaitu KLN dan Perdana Menteri memberikan pertimbangan khas kepada Menteri Besar Kedah dalam program lawatan berkenaan,” kata KLN lagi.
Terdahulu, Muhammad Sanusi pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mendakwa terdapat permainan ‘Little Napoleon’ atau pegawai lantikan politik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan KLN yang cuba mengeruhkan hubungannya bersama Anwar.
Muhammad Sanusi berkata beliau tidak diberikan tempat untuk bersama dalam perbincangan walaupun mendapati topik utama yang dibangkitkan adalah berkaitan isu tanah yang terletak di bawah bidang kuasa negeri.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim