1 DIS: Kerajaan akan memastikan pelaksanaan Identiti Digital Nasional atau Digital ID menjamin perlindungan data peribadi serta kawalan keselamatan siber.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pelaksanaan tersebut juga mampu
memudah cara perkhidmatan awam dan swasta.
Jelas beliau, ia tidak memerlukan perakaman biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah atau iris pengguna, sebaliknya kaedah tersebut hanya memerlukan MyKad serta imbasan cap jari untuk kesahihan sama seperti pengguna menjalankan urusan di bank.
“Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi ‘MyDigital ID’ dan mengimbas kod QR bagi mencipta ‘MyDigital ID’ dalam telefon bimbit. Jadi tak ada nak rakam atau tanam cip dalam badan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat pendaftaran Digital ID sebelum menghadiri mesyuarat Kabinet, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi menjelaskan Digital ID memberi akses kepada perkhidmatan awam dari segi bantuan serta semua aplikasi kerajaan dengan mennggunakan ‘single log in’ atau log masuk tunggal menerusi MyDigital ID.
“Maksudnya dengan adanya MyDigital ID ini kalau kita buka MyJPJ, MyJalan, kemudian kita pergi ke LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) ,tak payah nak ingat kata laluan lagi, semua akan guna satu log masuk sahaja.
“Itulah sebenarnya manfaat paling besar apabila kita gunakan MyDigital ID, lebih pantas. Di pihak kerajaan pula dan juga mana-mana pihak yang ingin menggunakan MyDigital ID, ada penjimatan sebab tak payah bina apa yang disebut sebagai pangkalan data komponen e-KYC (electronic Know Your Customer). Semua akan rujuk dengan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.
Sehubungan itu, Fahmi berkata pihaknya menyasarkan 1.6 juta pengguna Digital ID iaitu dengan menyasarkan penjawat awam sebagai permulaan.
“Walaupun terdapat kelonggaran pada peringkat awal untuk tidak perlu mendaftar dengan Digital ID bagi mendapatkan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), namun pada masa akan datang terdapat keperluan dan kewajaran untuk mendaftar,“ katanya.