2 DIS : Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bakal menjadi wadah meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan.
Pada masa sama ia menjadi platform membina kepercayaan dan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.
Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang dijadualkan pada 8 hingga 10 Disember 2023 di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dijangka mampu mempromosi dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bertindak sebagai urus setia bersama.
Program itu turut membabitkan kerjasama strategik pelbagai Kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta para pemegang taruh.
Penganjuran program ini memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.
Komponen tersebut adalah ikhtiar erajaan dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan selari dengan nilai-nilai Malaysia MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan Ihsan.
Antara tarikan sepanjang tiga hari program ialah penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus Kementerian-kementerian bersama rakyat, Jualan Mega MADANI selain melihat pencapaian kerajaan melalui pameran semua kementerian berserta perancangan jangka panjang kerajaan.
Majlis perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bakal disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Disember 2023.
Orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada 8 hingga 10 Disember 2023 bermula 9.00 pagi hingga 10.00 malam.