2 DIS : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau tidak mengetahui sekiranya akan berlaku rombakan Kabinet seperti yang didakwa atau sebaliknya,
Ia susulan sebarang keputusan berkaitan rombakan Kabinet itu hak seorang perdana menteri.
“Saya tak tahu pun ada rombakan kabinet (kerana) tiada perbincangan dengan saya. Itu prerogatif perdana menteri dan sudah pasti dia akan menilai adakah kementerian itu bersesuaian dengan kemahiran dan pengetahuan yang ada pada seseorang itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Promosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sekolah Menengah Agama Tun Ahmad Zaidi, Petra Jaya, hari ini.
Tambahnya, beliau yakin Anwar pasti menitikberatkan kemampuan seseorang itu untuk menerajui sesebuah kementerian sebelum membuat keputusan.
Semalam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan semalam yang memberi bayangan kemungkinan rombakan Kabinet dilakukan sebelum 2024.
Sementara itu, mengulas mengenai TVET, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata pusat khidmat Parlimennya akan meluaskan kerjasama dengan badan bukan kerajaan Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) bagi menggerakkan program mempromosikan bidang itu di peringkat sekolah.
“Tumpuan ialah di kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah parlimen ini iaitu Tupong, Satok dan Samariang. Saya akan menyokong perancangan dari segi bentuk program yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun hadapan,” katanya.