2 DIS : Kerajaan akan memfokus kepada memperbanyak kandungan dengan tema insaniah dalam usaha menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata hal tersebut akan dibincang bersama agensi di bawah kementeriannya segera.
“Saya akan bincang dengan beberapa agensi…kalau sebelum ini kita ada dana kandungan yang memfokus kepada kenegaraan tapi mungkin (sekarang) kita kena fokus kepada aspek insan itu.
“Jadi, saya nampak ada beberapa perkara yang selepas ini saya akan bawa ke agensi-agensi dan kita terapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Program World #QuranConvention 2023 di Sepang, hari ini.
Fahmi juga menyarankan penyedia kandungan kreatif untuk lebih menerapkan nilai Islam dan nilai-nilai murni dalam kandungan mereka.
Selain itu, pada masa akan datang, lebih banyak bengkel penulisan perlu dianjur bagi mencungkil bakat untuk menghasilkan kandungan kreatif yang mengangkat nilai-nilai murni.
“Dalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), ada beberapa bengkel yang ditujukan khas untuk pembikinan skrip filem tapi mungkin kita boleh anjurkan beberapa bengkel lain dengan menerapkan nilai-nilai murni serta Islamik supaya kandungan yang dihasilkan itu profesional, mantap dan diminati,” katanya.
Bertemakan Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah al-Insaan, Program World #QuranConvention 2023 yang memfokus kepada kepentingan berkhidmat kepada ummah berasaskan ajaran al-Quran serta mengaplikasikannya dalam kehidupan diri, keluarga, organisasi dan negara itu disertai 1,800 orang.
Konvensyen di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam itu juga adalah inisiatif bagi menggalakkan umat Islam untuk membaca, memahami selain melaksanakan ajaran al-Quran dalam membentuk pemikiran serta budi pekerti mereka berdasarkan al-Quran dan Hadis.