2 DIS : Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diumum memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, hari ini.
Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab sebaik semua peti undi selesai dikira pada jam 10.06 malam ini.
Calon PAS-Perikatan Nasional (PN) itu berjaya mempertahankan kemenangan PN di Kemaman dengan majoriti 37,220 undi.
Naib Presiden PAS itu memperoleh 64,998 undi sementara calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mendapat 27,778 undi.
“Nama calon, Raja Mohamed Affandi parti BN, 27,778 undi. Dr Sam parti PAS 64,998 undi. Jumlah undi ditolak 428 dan majoriti 37,220.
“Dengan ini saya mengisytiharkan Dr Sam dari parti PAS telah dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat P.040 Kemaman,” umum Ahmad Farhan.
Sementara itu menurutnya lagi, peratus pengundian bagi PRK Kemaman 65.76 peratus.
Pada PRU15, calon PAS, Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertembungan empat penjuru mengalahkan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said, Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab Ghani (Gerakan Tanah Air).
PRK Kemaman diadakan semula selepas mahkamah membatalkan kemenangan Che Alias atas petisyen yang difailkan oleh seorang pengundi.
Mahkamah mendapati pempetisyen berjaya membuktikan elemen rasuah yang bertujuan mempengaruhi pengundi dalam PRU15.