2 DIS : Seorang pelajar Tingkatan Satu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian cabul melibatkan 14 pelajar lelaki orang kurang upaya (OKU) di asrama sebuah sekolah menengah di Kepala Batas, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan ACP, Mohd Asri Shafie berkata pihaknya bertindak menahan remaja lelaki berusia 13 tahun yang juga OKU itu sebaik menerima laporan daripada pengetua sekolah tersebut.
“Kesemua mangsa berusia antara berusia 13 dan 14 tahun merupakan pelajar OKU yang mempunyai masalah pembelajaran, penglihatan, pendengaran dan autisme dan suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Katanya, pihaknya sedang mengesan saksi dan merekodkan keterangan daripada mangsa.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.