4 DIS : Kerajaan bakal mengambil langkah tegas dengan menyekat akaun yang terlibat serta melucutkan hak kredit penerima eMADANI.
Menerusi kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, tindakan tersebut diambil sekiranya terdapat laporan bagi mana-mana kes yang melibatkan pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai.
Tegas kementerian tersebut, eMADANI diwujudkan bagi tujuan menggalakkan ekonomi digital, selain memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.
“MOF tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai.
“Ia hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terlibat iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet atau QR DuitNow di 1.8 juta peruncit dan perniagaan di seluruh negara,” kata MoF.
Selain pemindahan ‘peer-to-peer dan pemindahan tunai, Kementerian Kewangan juga turut memaklumkan kredit tersebut tidak boleh digunakan bagi sejumlah tujuan.
Antaranya adalah bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-dompet; bayaran fi berkaitan kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet; bil pascabayar telekomunikasi dan prabayar terintegrasi dengan aplikasi e-dompet; pembelian permainan (games) terintegrasi dengan aplikasi e-dompet; bayaran tempat letak kereta dan/atau tol; aktiviti berkaitan pelaburan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet; dan transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian.
Permohonan eMADANI boleh dilakukan melalui empat dompet digital terpilih, iaitu MAE, ShopeePay, Touch n Go eWallet, dan juga Setel bagi mereka yang berumur 21 tahun ke atas dan mempunyai pendapatan di bawah RM100,000 setahun,
eMADANI merupakan tawaran kredit tunai RM100 secara sekali bayar akan dibuka mulai hari ini hingga 20 Februari depan.
Ia akan memanfaatkan 10 juta rakyat dewasa yang layak melibatkan peruntukan RM1 bilion.