6 DIS : Kerajaan akan mempertimbangkan untuk meneruskan program eMADANI bagi membantu golongan M40 menangani kesan kenaikan harga barangan selepas penyasaran subsidi dilaksanakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata golongan M40 yang sebelum ini gusar terkesan dengan pelaksanaan subsidi bersasar adalah mereka yang termasuk dalam 10 juta rakyat Malaysia layak menerima manfaat tersebut.
Jelas beliau, kerajaan melihat bantuan tunai adalah lebih baik berbanding pemberian subsidi secara pukal yang mana ia turut dimanfaatkan golongan kaya dan juga warga asing.
“Jumlah 10 juta penduduk itu adalah mencecah termasuk M40…faedah yang kita beri suntikan ini seperti RM100 melalui eMADANI dan kita akan teruskan.
“Kalau penyasaran minyak (petrol), kita juga akan perkenalkan kaedah sama, kalau kenaikan itu menyebabkan orang perlu belanja RM100 sebulan, kita tampung RM100 itu supaya tidak terkesan.
“Kita terima kenyataan, ada masalah kenaikantapi untuk nyatakan harga barang tidak pernah tinggi seperti ini berbanding dulu adalah tidak benar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri, malam tadi.
Pada masa sama, beliau berkata kenaikan kos sara hidup sememangnya menjadi masalah, namun sentimen itu tidak menggambarkan kenyataan sebenar disebabkan oleh politik picisan.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan turut berhasrat meningkatkan lagi jualan Rahmah yang sebelum ini diadakan di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke banyak lagi lebih kawasan untuk membantu mengurangkan masalah kenaikan harga yang turut disebabkan oleh faktor global.