NVIDIA Corporation sedia bantu Malaysia jadi hub AI
8 DIS : Syarikat teknologi multinasional NVIDIA Corporation menyatakan kesediaan untuk menyokong hasrat Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata NVIDIA melihat Malaysia mempunyai sumber dan kemampuan dalam menyediakan keperluan dan syarat sebagai sebuah hub AI.
“Petang tadi saya mengadakan perbincangan penuh bermakna bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Corporation, Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong.
“Dalam pertemuan tadi, perbincangan kami menyinggung potensi Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait Kecerdasan Buatan (AI). Saya tekankan Malaysia memerlukan infrastruktur AI bertaraf dunia bagi memupuk bakat tempatan dan membangunkan inovasi yang diterajui AI.
“Jensen menyatakan kesediaan menyokong hasrat ini dan memaklumkan NVIDIA bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI di Malaysia menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, selain pewujudan sistem Awan AI Malaysia sendiri,” katanya melalui hantaran di Facebook, hari ini.
NVIDIA merupakan perintis dalam pengkomputeran dipercepatkan dan kini syarikat keenam terbesar di dunia dari segi permodalan pasaran.
Menurut Anwar, NVIDIA akan mengadakan perkongsian strategik dengan konglomerat Malaysia, YTL yang membina pusat data AI melibatkan pelaburan berjumlah RM20 bilion
“YTL sudah memulakan pelaburan dalam superkomputer berkuasa H100 terbaru bagi membina sistem Awan AI berpengkalan di Malaysia,” katanya.
Kata Anwar, keputusan NVIDIA melabur di Malaysia merupakan isyarat jelas pelabur asing, khasnya syarikat gergasi teknologi dunia terus menjadikan Malaysia destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim