10 DIS : Penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu berjaya mencapai matlamat untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat.
Menurut sekretariat penganjur, lebih 230,000 orang hadir sepanjang tiga hari program yang berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, lapor Bernama.
Angka kehadiran pengunjung itu adalah petunjuk jelas program itu bukanlah sesuatu yang membazir sebaliknya berjaya memudah cara urusan kerajaan dengan rakyat kerana menghimpunkan 102 perkhidmatan melibatkan 36 reruai kaunter di satu lokasi.
Genap setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, penganjuran program berkenaan tepat pada masanya kerana memberi peluang kepada rakyat untuk menilai sendiri prestasi setiap kementerian dan membuat cadangan bagi sebarang perkara yang dirasakan perlu.
Pendekatan program sebegini yang menghimpunkan semua kementerian ‘di bawah satu bumbung’ sememangnya satu langkah sesuai kerana menjimatkan masa orang ramai untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan di satu lokasi.
Lebih menarik, penganjuran Jualan Mega MADANI yang menawarkan harga barangan 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran turut membantu menjimatkan kos perbelanjaan orang ramai.
Selain itu, diskaun kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penukaran topi keledar lama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sememangnya menjadi tumpuan ramai, malah ada yang sanggup datang seawal 6 pagi.
Pemilihan lokasi juga sangat strategik kerana pengunjung yang tidak mahu pening memikirkan soal parkir, mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil yang terletak berdekatan tapak program.
Bertitik tolak daripada kejayaan cemerlang itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI akan diteruskan di peringkat negeri dengan Selangor bakal menjadi tuan rumah pertama penganjuran pada Januari depan.
Tujuannya tidak lain tidak bukan, pastinya untuk memberi peluang kepada rakyat di setiap negeri membuat penilaian mengenai Kerajaan Perpaduan bagi menambah baik lagi ‘report card’ setiap kementerian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap menutup program berkenaan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dan menyatakan ia dilaksanakan dengan jayanya hasil usaha padu jemaah pimpinan masyarakat MADANI.