13 DIS : Pertukaran menteri akibat rombakan Kabinet semalam bukan bermakna setiap kementerian terlibat memerlukan perubahan dasar.
Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mana-mana dasar yang baik harus dikekalkan.
“Menteri datang dan pergi, timbalan menteri pun datang dan pergi. Namun yang lebih penting bagi kita ialah biar pun kepimpinan itu bertukar ganti, kerajaan bertukar ganti tetapi dasar harus dikekalkan.
“Jangan oleh kerana mahu wujudkan legasi kononnya, maka dasar diubah…yang baik pun diubah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Karnival Usahawan Desa (KUD) 2O23, malam tadi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan rombakan Kabinet pertama selepas setahun menerajui kepimpinan Putrajaya.
Melalui langkah itu, beberapa menteri digugurkan serta ditukar portfolio selain lantikan lima menteri dan timbalan baharu.
Mengenai KUD, Ahmad Zahid berkata kejayaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menarik kehadiran lebih satu juta pengunjung pada karnival di Putrajaya pada 22 hingga 26 November lepas merupakan sesuatu yang harus dibanggakan dan dijadikan contoh.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyarankan kementerian berkenaan untuk berusaha menarik lebih dua juta pengunjung pada penganjuran KUD seterusnya yang dijangka diadakan pada 2025.