13 DIS : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan berita yang tular di media sosia berhubung dakwaan subsidi diesel akan dihapuskan bermula 1 Januari depan.
Menurut kenyataan kementerian itu hari ini,
pihaknya sedang menjalankan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel melibatkan enam syarikat yang menerima kuota bagi skid tank mereka yang akan tamat tempoh pada 14 Januari 2024.
Tegas KPDN, ia sama sekali tidak melibatkan pengguna kenderaan diesel individu.
“Proses pengujian ini perlu dilaksanakan bagi melihat kecekapan sistem yang dibangunkan agar ia benar-benar menepati spesifikasi dan matlamat penyasaran semula subsidi diesel seperti mana yang dirancang.
“Oleh itu, KPDN berharap agar tidak ada mana-mana pihak menghebahkan sesuatu perkara yang tidak jelas dan boleh mengelirukan orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Justeru, KPDN berkata sebarang pengumuman rasmi hanya akan dibuat oleh pihaknya dan Kementerian Kewangan berhubung mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel setelah selesai sesi libat urus dan uji lari sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel dilaksanakan.