13 DIS : Ahli-ahli Kabinet Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan diharap dapat mewujudkan kolaborasi yang efektif dengan anggota-anggota Kabinet lain.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hanmidi berkata ia bertujuan bagi memperjelaskan dasar serta polisi demi mencapai matlamat pembangunan negara.
“Awal pagi tadi sebelum bermulanya mesyuarat Kabinet, saya dapat meluangkan masa bersama-sama dengan rakan-rakan BN yang ditaklifkan amanah sebagai menteri dan timbalan menteri.
“Saya berharap buat semua yang telah diberikan tanggungjawab ini untuk mewujudkan kolaborasi yang efektif, kesefahaman yang jitu dan kerjasama yang baik antara wakil BN dan ahli Kabinet yang lain untuk memperjelaskan dasar serta polisi demi mencapai matlamat pembangunan negara,” kata beliau menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut menyeru ahli-ahli Kabinet BN supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi selain menjaga imej parti dengan memperjuangkan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap agar semua ahli kabinet BN dapat memainkan peranan sewajarnya memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan dan memperkasakan agenda Malaysia MADANI.
Pada Selasa, antara ahli kabinet BN yang terlibat dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk Datuk Seri Mohamad Hasan yang berpindah ke Kementerian Luar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Kementerian Pertahanan) dan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir ke Kementerian Pendidikan Tinggi.