14 DIS : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneruskan inisiatif payung Rahmah yang diperkenalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub kerana ia merupakan agenda nasional negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif tersebut akan diperkasa bukan hanya membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) malah merangkumi beberapa kementerian lain.
“Ia (Rahmah) jadi agenda nasional bukan hanya kementerian semata-mata, tetapi ia memayungi kebajikan dan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.
Beliu berkata demikian selepas perasmian Karnival Barangan Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, hari ini.
Allahyarham Salahuddin melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Payung Rahmah bagi membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, Armizan berkata kerajaan sudah mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi meneruskan payung Rahmah pada Belanjawan 2024 lalu.
“Pastinya, peruntukan 2024 sudah ada iaitu sebanyak RM200 juta untuk kita meneruskan inisiatif ini. Hari ini, kita berikan kad diskaun Rahmah kepada pengusaha restoran dan kafe yang menyediakan menu Rahmah.
“Sebulan lalu, kita buka permohonan kad menu Rahmah secara atas talian dan hari ini beberapa syarikat menerima kad itu hari ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata inisiatif ini juga akan terus diperluaskan ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), institut pendidikan guru (IPG), politeknik dan kolej pendidikan MARA.