15 DIS : Timbalan Menteri Kewangan baharu, Lim Hui Ying menganggap sebarang pertikaian yang wujud terutama dalam media sosial susulan pelantikan beliau ke jawatan berkenaan merupakan satu kebebasan bersuara bagi rakyat negara ini.
Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata beliau sudah biasa berdepan dengan situasi berkenaan sejak 2018 ketika dilantik sebagai Senator Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan kemudian ia berlarutan berlaku sehingga dia dipilih sebagai calon pilihan raya bagi Parlimen Tanjong.
Malah, katanya pertikaian yang sama juga berlaku ketika dia dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, tahun lalu.
”Bagi saya ia adalah kebebasan masing-masing. Saya terima dengan hati yang besar apa juga komen-komen yang saya terima.
“Saya juga bukan sempurna, saya memang tahu. Saya ada kelemahan, setiap orang ada kekurangan dan kelebihan,” katanya selepas mengedarkan kalendar 2024 di Pasar Chowrasta, lapor Kosmo.
Namun Hui Ying berkata segala pertikaian itu juga tidak melemahkan semangat beliau untuk berkhidmat kepada rakyat.
”Saya hanya boleh berjanji saya akan bekerja sedaya upaya saya untuk membuat apa yang baik untuk rakyat Malaysia dan juga Pulau Pinang.
“Saya terimalah apa sahaja komen, susah hati (disebabkan komen) itu dibelakang. Tetapi di depan semua orang saya mesti tabah dan sabar,” katanya.