15 DIS : Mahkamah Persekutuan, hari ini memutuskan peruntukkan Kanun Keseksaan yang menjenayahkan tindakan memikat wanita yang sudah berkahwin adalah bercanggah dengan Perlembagaan.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata keputusan tersebut dipersetujui sebulat suara oleh lima panel hakim dengan memutuskan Perkara 162(6) dan 162(7) Perlembagaan Persekutuan terpakai kerana Seksyen 498 Kanun Keseksaan digubal sebelum Merdeka.
“Kami berpandangan peruntukan itu tidak mampu diubah suai kerana ia akan mengubah watak kesalahan.
“Oleh itu satu-satunya cara untuk membatalkannya adalah dengan memansuhkannya menerusi kehakiman,” katanya.
Hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya akan dikenakan kepada kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, iaitu memikat, membawa pergi atau menyembunyikan seseorang wanita yang sudah berkahwin.
Terdahulu, seorang ahli perniagaan berusia 54 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2020 selepas suami wanita itu membuat laporan.
Pada Mac lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan lelaki itu untuk merujuk persoalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan untuk penentuan.
Menurut Mahkamah, persoalan undang-undang yang dipertimbangkan adalah sama ada Seksyen 498 Kanun Keseksaan melanggar hak asasi semua orang untuk kesamarataan di sisi undang-undang seperti yang dinyatakan dalam Perkara 8(1) dan 8(2) Perlembagaan.
Dalam pada itu, Tengku Maimun berkata keputusan mahkamah tertinggi itu hanya terpakai untuk kes-kes akan datang, bukan secara retrospektif meski pun panel lain sebulat suara menjawab soalan itu dengan afirmatif.
Ketika berhujah, beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju Seksyen 498 menganggap wanita yang sudah berkahwin sebagai ‘harta’ suami mereka.
Sementara itu, peguam Jayarubbiny Jayaraj dibantu oleh Jay Moy dan Puteri Batrisyia Abdul Latif berhujah Seksyen 498 melanggar autonomi dan merendah-rendahkan maruah wanita selain bersifat kuno dan paternalistik.
Menurut Jayarubbiny, peruntukan itu mendiskriminasi wanita yang sudah berkahwin dan mudah disalah guna.
Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim dan Eyu Ghim Siang menjawab Seksyen 498 tidak melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.