18 DIS : Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bercadang melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meski peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM berharap negara dapat menempuh peningkatan kes itu tanpa melalui sebarang sekatan pergerakan.
“Kita (KKM) harap dapat melalui (fasa peningkatan jangkitan ketika ini) tanpa melalui sekatan termasuk PKP yang dilaksana pada awal pandemik dulu.
“Kita dah tak cakap mengenainya (sekatan) atau akan mengulangi PKP. Sebab banyak yang tanya dan banyak kegusaran di situ,” katanya pada sidang media khas di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, fasiliti kesihatan ketika ini sudah bersedia untuk menerima sebarang peningkatan kemasukan pesakit.
“Kita sedia termasuk dengan (fasiliti kesihatan) ATM, swasta dan NGO (badan bukan kerajaan),” katanya.
Beliau turut mengumumkan lima strategi utama di bawah Pelan Pengurusan Covid-19 dalam menghadapi peningkatan mendadak ketika ini.
Strategi pertama adalah pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-CoV-2 manakala strategi kedua pula adalah pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek).
Strategi ketiga melibatkan pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes Covid-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi.
Sementara strategi keempat adalah pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan dan strategi kelima, pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera.
Katannya, secara keseluruhan walaupun terdapat peningkatan kes Covif-19 yang dilaporkan, keadaan semasa di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.