19 DIS : Cadangan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang disyorkan wakil DAP sebelum ini akan dibawa ke Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk dibincangkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata beliau tidak menolak mengenai kepentingan cadangan itu namun perkara berkenaan perlu diperhalusi secara mendalam.
“Bagaimanapun kalau kita tengok sebenarnya ia (PBT) di bawah (bidang kuasa) KPKT dan saya tidak menolak akan kepentingannya, jadi apa pun nanti saya juga akan berbincang dengan menteri KPKT (Nga Kor Ming) untuk memastikan bagaimana perkara ini dapat dilihat dan ditinjau lebih teliti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Selamat Datang dan Sesi Taklimat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Menara DBKL 1 di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.
Kok Wai berkata pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan pilihan raya PBT tidak perlu diadakan kerana ia hanya akan mencetuskan kegusaran politik.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut menzahirkan keyakinan kerajaan perpaduan tidak akan meluluskan syor Tan itu.
“Pada pandangan saya, tidak perlu (pilihan raya PBT). Saya selaku ahli MKT (Umno), tidak mahu bertambah runcing perkauman di negara kita ini,” katanya.