22 DIS : Kementerian Pertahanan (Mindef) menyerahkan dokumen berkait empat tender perolehan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk tindakan lanjut.
Ia membabitkan tujuh syarikat yang terlibat dalam kegiatan menipu bida.
Mengikut kenyataan dikeluarkan Mindef, kesemua perolehan itu membabitkan empat tender pembekalan barangan dan perkhidmatan yang dianggarkan bernilai RM20.8 juta pada 2016 dan 2020.
“Kesemua perolehan terlibat dalam siasatan ini dilaksanakan secara tender terbuka dan sebut harga mengikut tatacara perolehan ditetapkan Kementerian Kewangan.
“Semua dokumen berkenaan dikemukakan kepada MyCC setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Bahagian Undang-Undang Mindef,” katanya.
Mengikut rekod, keempat-empat syarikat yang disenaraikan terlibat dalam perolehan pembekalan barangan runcit dan perkhidmatan penyelenggaraan itu dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka.
“Tiga lagi syarikat terlibat dalam perolehan yang dilaksanakan melalui sebut harga dibuat oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah Mindef,” kata kementerian itu.
Mindef berkata pihaknya sentiasa komited dalam memastikan semua proses perolehan dilaksanakan secara telus dan mematuhi ketetapan pekeliling perbendaharaan yang berkuat kuasa dalam mencegah elemen ketirisan.
Selain itu, Mindef berkata akan memberikan kerjasama dalam membantu proses siasatan lanjut MyCC berkait perkara tersebut.