23 DIS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan pembangkang yang cuba menakut-nakutkan orang Melayu dengan melemparkan pelbagai tuduhan melampau.
Ini termasuk negara kini dikuasai oleh orang Cina dan DAP.
“Baru-baru ini dibangkitkan tentang pinda Perlembagaan supaya seorang perdana menteri itu haruslah seorang Melayu.
“Pada saya, kalau anak-anak kita esok, 20 tahun akan datang mahu pinda, mereka boleh pinda…cuma sekarang tidak ada calon yang dikemukakan bukan Melayu sebagai perdana menteri. Jadi apa isu dia?
“Keduanya, pilihan raya pihak berkuasa tempatan. Memang kita bincangkan, ini sampai bincang pun tak boleh…pada saya boleh bincang.
“Tetapi setakat ini jemaah menteri belum buat sebarang keputusan, belum sampai lagi ke situ, belum dibincangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di Putrajaya, hari ini.
Baru-baru ini, Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menimbulkan kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai perdana menteri.
Kemudian Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan pula agar diadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Wilayah Persekutuan.
Kenyataan mereka kemudiannya mendapat respons negatif daripada pelbagai pihak terutama pembangkang.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan orang Melayu tidak sepatutnya mempunyai pemikiran rendah diri dan tertutup kerana semua peringkat kepimpinan di negara ini dikuasai oleh kaum tersebut.
“Kita majoriti, Melayu masih ada kekuatan dengan Raja Melayu, perdana menteri dan menteri besar, semuanya. Jadi mengapa ditanam seolah Melayu dalam perasaan takut?
“Yang perlu ditanam dalam pemikiran orang Melayu ialah cungkil bakal dan beri keyakinan supaya orang Melayu perlu lebih rajin, kuat dan bersaing lebih baik. Itu cabaran kita,” katanya.
*Foto Pejabat Perdana Menteri