27 DIS : Parti Warisan (Warisan) menafikan tuduhan dilempar pihak tertentu yang mendakwa kononnya parti itu mendapat dana atau mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah.
Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata tuduhan yang dilemparkan itu satu fitnah politik melampau bagi menjatuhkan reputasi parti itu serta pemimpin-pemimpinnya.
Beliau menegaskan Warisan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika tuduhan itu berulang
“Warisan kesal masih ada segelintir pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk mengaitkan kes itu dengan Warisan seperti yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam polis mendedahkan ketua sindiket dadah bergelar ‘Datuk’ antara 10 lelaki ditahan pada Isnin lalu di Sabah kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.
Susulan pengumuman itu, tular satu mesej di aplikasi WhatsApp yang mengaitkan individu itu dengan Warisan.