PM umum lebih RM910 juta atasi banjir Kelantan
28 DIS : Kerajaan mengumumkan peruntukan RM910.52 juta bagi mengatasi masalah banjir di Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu untuk lima projek baharu di mana proses perolehan dijangka dimulakan tahun hadapan.
“Projek paling utama ialah PLSB (Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu) Sungai Golok Fasa 2.
“Seterusnya naik taraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal untuk kawalan banjir di negeri Kelantan.
“Ia melibatkan kerja-kerja menaiktaraf rumah pam Istana, Kota Bharu,” katanya pada sidang akhbar di Pasir Mas, hari ini.
Terdahulu, Anwar melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Lati.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan projek seterusnya melibatkan naik taraf saliran bagi mengatasi banjir di Pasar Kedai Mulong dan Ketereh.
Menurut Anwar, projek membina dan menaiktaraf saliran bagi mengatasi masalah banjir di Sekolah Kebangsaan Ketereh dan pemuliharaan pantai di Airport City Sabak turut termasuk dalam peruntukan itu.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata 18 lagi projek dengan kos keseluruhan RM2.42 bilion sedang dijalankan pada tahun semasa.
“Pada Januari 2024 JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dijangka akan melaksanakan dua projek iaitu PLSB Sungai Golok Fasa 3 dan PLSB Sungai Kelantan Fasa 2,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim