29 DIS : Syor dikemukakan Ahli Parlimen DAP, Datuk Ngeh Koo Ham berkaitan pelantikan pakar bukan beragama Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dilihat tidak berasas sama sekali.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengeaskan sebarang perkara berkaitan pentadbiran hal ehwal Islam perlu dirujuk Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) serta pihak berkuasa negeri terlebih dahulu.
Ini termasuk isu-isu dasar perundangan dan kehakiman syariah.
Jelasnya, jawatankuasa khas itu ditubuhkan bagi mengkaji isu berkait kompetensi DUN dan bidang kuasa mahkamah syariah sepertimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri serta Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“JPM akan sentiasa merujuk kepada MKI yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Mesyuarat pertama jawatankuasa khas ini berlangsung 5 Disember lalu dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan dianggotai bekas hakim Mahkamah Persekutuan, wakil daripada Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Peguam Negara (AGC), Mahkamah Syariah, ahli akademik serta pengamal undang-undang.
“Kesemua anggota yang dilantik mempunyai kepakaran masing-masing bagi memastikan jalan penyelesaian terbaik demi memartabatkan dan memperkasa perundangan Syariah serta sistem kehakiman di negara ini.
“Oleh yang demikian, cadangan berkaitan pelantikan pakar bukan Islam dalam jawatankuasa khas seperti yang dikemukakan Ahli Parlimen Beruas adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kata Mohd Na’im, segala hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh jawatankuasa khas tersebut akan dibentangkan dalam MKI serta Majlis Raja-Raja.
Sebelum ini, media melaporkan Koo Ham berkata langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.
Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.