Boikot: McDonalds saman BDS Malaysia RM6 juta
29 DIS : Sebuah badan yang menyokong pemboikotan terhadap jenama antarabangsa utama sebagai tindak balas kepada pembantaian Israel ke atas Gaza berdepan tuntutan RM6 juta atas kerugian yang dialami oleh rangkaian makanan segera McDonalds.
Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR), pemilik francais McDonalds di Malaysia menuntut jumlah kerugian hasil (RM3 juta), pampasan untuk pekerja yang diberhentikan (RM1.5 juta) dan bahan tamat tempoh (RM1.5 juta).
Plaintif berkata defendan – Boycott Divestment Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) telah menghasut orang ramai supaya membenci jenama McDonald’s kerana konflik antara Israel dan Palestin.
“Umum mengetahui bahawa rakyat Malaysia – yang majoritinya beragama Islam – telah memboikot perniagaan defendan kerana ia (didakwa) mempunyai kaitan dengan konflik itu.
“Terdapat juga insiden di mana pekerja plaintif diugut dan diaibkan dalam media sosial,” kata pernyataan tuntutan GAR, lapor Malaysiakini.
Sebagai tambahan kepada ganti rugi teladan, plaintif juga memohon injunksi terhadap pengulangan kenyataan fitnah oleh BDS Malaysia dan perintah mahkamah agar BDS Malaysia menarik balik semua kenyataan fitnah.
GAR berkata BDS Malaysia, secara sindiran membuat kesimpulan syarikat itu terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai 2.3 juta warga Palestin, bekerjasama dengan Israel atau tenteranya dan mendapat keuntungan daripada pembunuhan rakyat Palestin.
“Plaintif menegaskan bahawa ia mahupun McDonald’s Corporation tidak menyumbang, menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik atau agama di seluruh dunia termasuk konflik Israel-Palestin.
“Disebabkan penyebaran kenyataan fitnah oleh defendan di laman web, akaun Facebook dan akaun Instagram mereka, reputasi plaintif terjejas dan menjadi sasaran kebencian awam,” kata kenyataan tntutan yang difailkan pada 19 Disember itu.
GAR berkata mereka mengeluarkan surat tuntutan kepada BDS Malaysia untuk memadamkan kenyataan fitnah pada 10 November dan dalam jawapan pada 12 Disember, BDS Malaysia menegaskan McDonald’s Corporation membenarkan pemegang francaisnya membantu tentera Israel dan kenyataan mereka adalah berdasarkan pada fakta.
Dalam pernyataan tuntutannya, GAR berkata syarikat itu 100 peratus dimiliki oleh orang Islam dan 55 peratus daripada pelanggannya juga beragama Islam.
Dalam satu kenyataan, BDS Malaysia menafikan memfitnah GAR.
“Oleh itu kami pilih untuk membiarkan mahkamah memutuskan perkara itu,” kata kumpulan itu sambil menambah butiran lanjut akan didedahkan tidak lama lagi.