3 JAN : Timbalan ketua kumpulan pejuang Hamas, Saleh al-Arouri dilaporkan syahid dalam serangan dron Israel di Beirut, Lubnan semalam.
Al-Arouri, 57 adalah pemimpin kanan politik Hamas pertama yang syahid sejak serangan udara dan darat rejim zionis terhadap Gaza, 7 Oktober tahun lalu.
Al-Arouri merupakan pengasas bersama sayap Hamas, Bridged Al-Qassam.
Kematian al-Arouri yang juga ahli biro politik Islam Palestin itu dijangka bakal meningkatkan risiko perang merebak ke luar Semenanjung Gaza.
Radio dan TV Hamas serta TV Mayadeen mengesahkan berita daripada sumber keselamatan itu.
Menurut laporan, al-Arouri syahid dalam serangan dron Israel ke atas pejabat Hamas di selatan Beirut.
Secara keseluruhan, serangan dron itu mengorbankan enam individu di pinggir bandar selatan Daliyeh.
Menurut TV Al Aqsa Hamas, komander sayap bersenjata kumpulan itu di Lubnan, Samir Findi Abu Amer dan Azzam Al-Aqraa Abu Ammar turut maut dalam serangan itu
Israel bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang pembunuhan al-Arouri itu.
Israel sebelum ini menuduh al-Arouri mengarahkan dan menyelia serangan Hamas di Tebing Barat yang diduduki Israel selama bertahun-tahun.