4 JAN : Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan pada Selasa lalu dibangun dan dikawal selia oleh penjawat awam bagi mengelak risiko kebocoran data.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata sebelum ini berlaku isu kebocoran data disebabkan aplikasi data itu dikendalikan pihak ketiga.
Beliau menegaskan melaluu PADU, isu dan risiko kebocoran data dapat dielak kerana penjawat awam tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 yang menghalang mereka membocorkan rahsia kerajaan.
“Penjawat awam tertakluk kepada akta itu dan kalau langgar ia boleh jadi kes jenayah dan boleh didakwa di mahkamah.
“Model sebelum ini dengan melantik vendor atau syarikat swasta untuk bangunkan data bersepadu kerajaan tidak lagi relevan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sistem itu mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia yang menjadi penerajui kepada pengagihan subsidi serta bantuan lebih adil.
Menurut Rafizibkerajaan kini mampu memberi kemaskini data lebih pantas kerana PADU dikendalikan penjawat awam sendiri.
“Sebelum ini, kita tidak boleh buat pangkalan data menggunakan satu tingkap (sistem tunggal) namun ia tidak boleh dibuat selagi data itu tidak diintegrasikan dan memerlukan melalui proses oleh kerajaan dan rakyat,” katanya.
Setakat jam 4 petang tadi, seramai 516,168 sudah mendaftar dengan 261,158 pengguna selesai proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital).
“Kami menyasarkan 500,000 pengguna mengakses PADU setiap hari dengan 200,000 pengguna mendaftar lengkap sehari. Ketika ini, proses pendaftaran PADU berjalan lancar seperti dirancang dan dijangkakan.
“Kami jangka ia akan lebih mencabar minggu kedua namun akan melonjak pada Mac kerana tarikh tutup pada 31 Mac depan,” katanya.