5 JAN : Pelaksanan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bermula sebelum Tingkatan Empat masih dalam perbincangan kerana ia melibatkan beberapa implikasi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tanpa memperincikan implikasi berkenaan, beliau berkata TVET yang dilaksanakan mengikut tahap masa kini adalah memadai kerana kapasiti program itu juga terbatas.
“Laporan jawatankuasa Kabinet setuju, peringkat ini (adalah) selepas Tingkatan Tiga. Untuk dia (TVET) ke bawah lagi, memang dalam diskusi kerana ada implikasi lain.
“Tapi kalau mula selepas Tingkatan Tiga, saya ingat permulaan satu ke dua tahun ni cukup dan memadai,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog selepas merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar menjawab soalan yang dikemukakan seorang peserta yang mencadangkan keperluan program TVET dilaksanakan bermula dari sekolah rendah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi bidang berkenaan.
Anwar turut meminta ahli akademik di universiti untuk mengkaji dan menerokai bidang-bidang baharu seiring dengan hasrat kerajaan menarik lebih banyak pelaburan luar.
Langkah itu juga katanya bertepatan untuk memenuhi keperluan industri yang menyaksikan sehingga kini, beberapa syarikat gergasi antarabangsa telah bersetuju untuk meningkatkan pelaburan dalam negara.
Mengenai konsep post normal time, perdana menteri berkata, setiap perkara yang ingin dilaksanakan seperti proses tender masih memerlukan peraturan tertentu namun dilakukan dalam tempoh masa yang singkat mengikut kesesuaian.
“Saya buat test case untuk Kabinet yang biasanya ambil masa satu tahun setengah berdasarkan pengalaman lama. Saya minta KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) bawa kepada menteri dan ke Kabinet, kita lulus dalam masa dua bulan.
“Proses masih dibawa sebab saya tak mahu bertolak ansur soal tender sebab banyak sangat kecurian, rundingan yang merugikan kita berpuluh bilion ringgit setahun.
“…(tetapi) kalau tender proses biasa lapan bulan untuk buat keputusan, kita adakan kaedah dan cara lebih baik, sama ada tender pra-kelayakan terpilih 10 syarikat yang melepasi syarat tertentu, boleh diluluskan dalam tiga bulan atau maksimum empat bulan,” katanya.
Anwar berkata, sama seperti yang dilaksanakan oleh jawatankuasa Kabinet selepas setiap kali mesyuarat mingguan berlangsung, satu laporan akan dikemukakan dalam tempoh satu hingga dua minggu sahaja untuk setiap kementerian membuat ulasan masing-masing, berbanding terdahulu tiga hingga enam bulan.
Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selama dua hari bermula hari ini bertujuan menyelaraskan semula strategi, merangka hala tuju strategik KPT, mencadangkan program atau inisiatif serta membincangkan isu-isu strategik berkaitan KPT dan cadangan penyelesaian bagi tahun ini.