9 JAN : Kuota jemaah haji Malaysia bagi tahun ini ditetapkan seramai 31,600 orang jemaah kekal seperti sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata angka itu dimaklumkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.
Mereka bertemu pada majlis menandatangani Memorandum Aturan Urusan Haji 1445H/2024 di Jeddah, Arab Saudi.
“Dalam pertemuan tersebut antara perbincangan adalah kandungan memorandum berkaitan aturan pengurusan jemaah haji meliputi urusan penerbangan, penginapan serta penyediaan makan minum jemaah haji sepanjang urusan menunaikan ibadat haji di Tanah Suci,” kata Mohd Na’im dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Mohd Na’im, perkara lain yang turut dibincangkan berkait urusan di Masyair termasuk pengangkutan bagi jemaah haji dan para petugas haji serta persediaan pengurusan aspek kesihatan jemaah haji.
Mohd Na’im kini berada di Jeddah, Arab Saudi bagi menyertai Persidangan Haji dan Umrah 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.