9 JAN : Akuan Bersumpah (SD) didakwa dimiliki Perikatan Nasional (PN) yang mencukupi untuk menukar kerajaan Persekutuan tidak sah.
Presiden UMno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu tidak boleh diterima.
“SD itu tidak sah,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian selepas melawat dan menghadiri Mesyuarat Koordinasi Bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan FELDA di Ibu Pejabat FELDA, hari ini.
Ketika ditanya kemungkinan ada Ahli Parlimen UMNO-BN yang menandatangani SD itu, Ahmad Zahid perkara itu tidak timbul kerana SD itu sebenarnya tidak ada.
SD berkenaan dikatakan daripada ahli Parlimen yang menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kelmarin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata PN mempunyai SD yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Namun Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN tidak memaklumkan secara terperinci berkait perkara itu.
Pada Sabtu, Pejabat Ketua Pembangkang menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen daripada PN untuk datang menghadap bersama SD masing-masing.