10 JAN : Kediaman Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar, Manjung diserang dalam kejadian awal pagi tadi.
Kediaman Ahli Parlimen Beruas itu diserang menggunakan bahan letupan, ‘molotov cocktail’ hingga memusnahkan kenderaan miliknya.
Kejadian sekitar jam 3 pagi itu bagaimanapun hanya melibatkan garaj kereta di bahagian depan rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Mohd Zaki Mokhtarmin berkata ketika kejadian wakil rakyat DAP itu dan isteri berada di dalam rumah namun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, kebakaran mengakibatkan sebuah kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mengesahkan kejadian itu berkata anggota bomba sempat memadamkan api daripada terus merebak ke rumah.
“Saya mewakili seluruh pimpinan DAP berasa simpati dan bersolidariti dengan keluarga beliau dalam kejadian keganasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegasnya, DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan itu yang mengancam keselamatan nyawa keluarga pemimpin itu.
Katanya, apa saja bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sama sekali dalam menangani perbezaan dalam masyarakat.
“DAP juga meminta pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM supaya mengambil perhatian serius dalam kejadian ini dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga,” katanya.
*Foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia