12 JAN : Amerika Syarikat (AS) dan Britain melancarkan serangan terhadap Houthi susulan serangan kumpulan itu di laluan perkapalan di Laut Merah.
Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak mengesahkan Tentera Udara Diraja Britain (RAF) melancarkan serangan menyasarkan fasiliti milik Houthi di Yaman.
“Tentera RAF terus melakukan rondaan di Laut Merah sebagai sebahagian daripada Operasi Penjaga Kemakmuran multinasional untuk menghalang pencerobohan Houthi dan kami menggesa mereka menghentikan serangan dan mengambil langkah untuk meredakan ketegangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata tenteranya dibantu Britain, Australia, Bahrain, Kanada dan Belanda berjaya menyerang beberapa lokasi Houthi di Yaman.
Serangan udara itu menyasarkan beberapa bandar sekitar Yaman di mana puak Houthi mengawal sebahagian besar wilayah, menurut sumber Houthi dan saksi.
Houthi meningkatkan serangan di laluan laut antarabangsa utama kapal dagang sejak perang Israel Hamas bermula 7 Oktober lalu tetapi mendakwa hanya menyerang kapal yang ada kaitan dengan Israel atau sekutunya.
Keadaan itu bertukar menjadi perang proksi antara Houthi yang menyokong Palestin dan AS serta Britain yang bersekutu dengan Israel, sekali gus meningkatkan ketegangan di Asia Barat.
Kumpulan Houthi mendakwa mereka hanya membalas tindakan Israel menyerang Gaza dengan turut melancarkan siri serangan dron dan peluru berpandu ke arah Israel.
Washington menyelaras satu gabungan dikenali sebagai ‘Operasi Penjaga Kemakmuran’ bulan lalu bagi menjaga keamanan laluan trafik maritim di perairan yang digunakan 12 peratus daripada dagangan dunia.
Sejumlah 12 negara menyertai gabungan diterajui AS itu dan memberi amaran kepada Houthi supaya menghentikan serta merta serangan terhadap kapal dagang atau menghadapi akibatnya.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) juga menggesa semua serangan di Laut Merah dihentikan serta merta dengan amaran ia semakin mengancam kestabilan dan keselamatan serantau.
Peningkatan serangan itu menyebabkan trafik perdagangan di Laut Merah berkurang sehingga 40 peratus selepas terpaksa dilencongkan ke Tanjung Harapan di Afrika Selatan yang sekali gus menggugat ekonomi global.